Maklumat Penting tentang KT Blog

Blog ini dibangun, diurus dan dikemaskini oleh
Nama: Lee Siok Enn
No. Matrik: D20102046035
Kursus: KRT3013 (Teknologi Maklumat Sekolah Rendah)

Keindahan Negara Kita

Topik ini membolehkan murid mengenali dan menghargai keindahan alam semula jadi, seni bina dan tempat rekreasi yang terdapat di negara kita. Melalui proses pengajaran dan pembelajaran, murid akan dapat mengetahui keistimewaan ciri-ciri fizikal utama, keunikan bangunan dan binaan serta keindahan tempat peranginan dan rekreasi. Melalui topik ini, semangat cinta dan sayangkan negara dapat dipupuk di kalangan murid seterusnya berusaha untuk mengekalkan keindahan negara.

  • Post 2
  • Post 2
  • Post 2
  • Post 2
  • Post 3
  • Post 2
  • Post 2
  • Post 3
  • Post 2
  • Post 3

Content

Objektif Topik

1. Menjelaskan ciri-ciri fizikal istimew a yang terdapat di negara kita.
2. Mengetahui dan menghargai bangunan dan binaan di negara kita.
3. Mengetahui keindahan tempat peranginan dan rekreasi di negara kita.
4. Memupuk semangat cinta akan negara dan seterusnya berusaha
mengekalkan alam semula jadi yang terdapat di negara kita.

Tanah Tinggi dan Kepentingannya

Banjaran, gunung dan bukit tergolong dalam kategori tanah tinggi. Di bawah ini, disenaraikan maksud bentuk muka bumi tanah tinggi.

1. Banjaran - Banjaran Titiwangsa digelar tulang belakang Semenanjung Malaysia. Banjaran bermaksud rangkaian atau sambungan kawasan gunung.

2. Gunung - Ketinggian gunung melebihi ketinggian kawasan bukit. Ketinggian gunung adalah sekurang-kurangnya 330 meter.

3. Bukit - Kawasan tanah tinggi yang kurang dari 330 meter.

Beberapa contoh banjaran dan gunung yang terdapat di negara Malaysia adalah seperti berikut.

1. Banjaran Titiwangsa - Gunung Korbu
2. Banjaran Keledang - Gunung Korbu
3. Banjaran Bintang - Gunung Bintang
4. Banjaran Crocker - Gunung Kinabalu
5. Banjaran Kapuas Hulu

Peta di bawah pula menunjukkan lokasi beberapa tanah tinggi yang terdapat di Malaysia. Bolehkah anda mengenalpasti kawasan tersebut dan mengisi tempat kosong di dalam peta?


Banjaran Titiwangsa juga dikenali Banjaran Besar dan ianya banjaran terpanjang di Semenanjung Malaysia. Di sinilah punca utama sungai-sungai yang mengalir ke lautan di sekeliling Semenanjung Malaysia. Stesen penjana kuasa hidroelektrik juga terdapat di sini. Tempat peranginan yang terkenal juga terletak di sini iaitu Genting Highlands, Bukit Fraser, Bukit Tinggi (Berjaya Hills), Cameron Highlands dan Bukit Larut (Maxwell Hill)


Genting Highlands

Bukit Fraser

Bukit Tinggi (Berjaya Hills)

Cameron Highlands

Bukit Larut (Maxwell Hill)

Gunung Kinabalu adalah gunung yang tertinggi di Malaysia manakala Gunung Tahan adalah gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Di antara kepentingan tanah tinggi ialah

1. Menjana kuasa hidroelektrik
Stesen janakuasa hidroelektrik dibina di kawasan tanah tinggi yang mempunyai sumber air. Contohnya di Batang Ai, dimana stesen janakuasa Empangan Batang Air membekalkan kuasa elektrik ke kawasan kediaman dan perindustrian di Kuching dan Bintulu.

2. Pelancongan
Suhu nyaman di tanah tinggi berbanding kawasan bandar berjaya menarik ramai pelancong luar dan tempatan. Permandangan hijau di persekitaran kawasan kunjungan seperti Genting Highlands dan Cameron Highlands sungguh indah sekali.

3. Pertanian
Sayur-sayuran, bunga serta pelbagai jenis bunga yang memerlukan suhu yang rendah untuk tumbuh boleh ditanam di tanah tinggi. Oleh itu, terdapat banyak kawasan pertanian di Cameron Highlands (Pahang) and Kundasang (Sabah).

Tanah Pamah dan Kepentingannya

Tanah pamah bermaksud kawasan tanah rendah yang mendatar dan beralun yang mungkin terdapat sungai, tasik, air terjun dan paya. Antara kawasan tanah pamah yang terdapat di Malaysia ialah:

1. Dataran Kedah
2. Dataran Kerian
3. Lembah Klang
4. Dataran Johor
5. Pahang Tenggara
6. Delta Kelantan
7. Lembah Rajang
8. Lembah Kinabatangan

Kawasan tanah pamah penting dan sesuai untuk aktiviti seperti

1. Pertanian
Banyak jenis tanaman ditanam di kawasan tanah pamah disebabkan kesesuaian jenis tanah, contohnya padi di Dataran Kedah dan Tanjong Karang, Selangor. Kelapa sawit juga banyak ditanam di Pahang dan Sabah manakala getah di Pahang, Kelantan dan Terengganu. Perlis pula menanam tumbuhan seperti tebu. Negara Malaysia merupakan pengeksport getah dan kelapa sawit.

2. Kawasan Perindustrian
Kawasan tanah pamah yang begitu luas di Malaysia berjaya manarik pelaburan asing untuk membuka kilang dan melabur di sini.Shah Alam, Pasir Gudang, Bintulu dan Gurun meupakan kawasan perindustrian di Malaysia dan kawasan-kawasan ini terletak di tanah rendah.

3. Pengangkutan
Lebuhraya telah banyak membantu dan memudahkan urusan harian rakyat dan kegiatan ekonomi. Laluan di lebuhraya kebiasaanya dibina di kawasan tanah pamah yang rata.

Saliran dan Kepentingannya

Di Malaysia, terdapat beberapa sungai yang penting untuk aktiviti harian semua penduduk. Sungai mengalir dari kawasan tanah tinggi ke tanah rendah dan seterusnya menuju ke laut.

Berikut adalah sungai-sungai dan tasik-tasik yang terkenal di negara Malaysia.
1. Tasik Timah Tasoh
2. Sungai Muda
3. Tasik Temenggor
4. Sungai Perak
5. Tasik Cini
6. Sungai Pahang
7. Sungai Muar
8. Tasik Kenyir
9. Sungai Terengganu
10. Sungai Rajang
11. Sungai Baram
12. Sungai Kinabatangan

Peta di bawah menunjukkan beberapa kawasan tasik dan sungai untuk rujukan anda.


Kepentingan Saliran
1. Sumber pengairan dan perikanan
Empangan yang dibina di sungai boleh membekalkan bekalan air yang mencukupi kepada petani untuk menanam padi. Ada juga sungai dan tasik yang dijadikan kawasan ternakan ikan dalam sangkar. Contohnya, Sungai Pahang dan Tasik Timah Tasoh (Perlis).

2. Sumber air
Semua penduduk di negara ini mendapat bekalan air daripada empangan. Sumber air dari sungai ini seterusnya disalurkan ke loji rawatan air sebelum dibekalkan untuk kegunaan harian kita semua.

3. Jalan perhubungan
Sungai menjadi lebuhraya kepada penduduk di kawasan pedalaman. Contohnya Sungai Rajang di Sarawak. Sungai Kinabatangan di Sabah pula digunakan untuk menghanyutkan kayu balak ke kilang kayu. Di Semenanjung Malaysia pula, Sungai Tembeling menjadi salah satu laluan masuk ke Taman Negara Pahang.

Kepentingan Pinggir Laut dan Kepulauan

Pantai, tebing tinggi, teluk dan tanjung adalah beberapa jenis kawasan yang dijumpai di kawasan pinggir laut di Malaysia. Lihat peta di bawah dan teliti kawasan pinggir laut dan pulau-pulau yang terdapat di Malaysia.


Kawasan pinggir laut dan pulau-pulau di Malaysia adalah penting untuk

Pelancongan
Pusat pelancongan yang terkenal di pinggir laut dan pulau-pulau di negara kita termasuklah Teluk Kemang, Pulau Redang, Pulau Sipadan dan Pantai Cahaya Bulan.


Pelabuhan
Beberapa lokasi di sepanjang pinggir laut yang mempunyai air dalam telah dijadikan pelabuhan untuk kapal-kapal besar seperti Pelabuhan Klang di Selangor dan Tanjung Pelepas di Johor. Bolehkah anda namakan beberapa pelabuhan yang lain di Malaysia?

Perikanan
Penduduk yang tinggal di pinggir laut kebanyakkannya bekerja sebagai nelayan. Mereka bergantung kepada laut untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara kehidupan harian.

Ciri Iklim di Malaysia

Marilah kita mengkaji suhu, angin dan hujan di negara Malaysia yang mengalami iklim Khatulistiwa.

Suhu
Malaysia mengalami pancaran matahari sepanjang tahun dan oleh sebab ini, negara kita mempunyai suhu yang agak tinggi dan hampir sekata selama 12 bulan. Purata suhu tahunan adalah 27°C di mana perbezaan suhu setiap bulan ialah 1°C hingga 2°C.

Angin dan Hujan
Angin monsun sering bertiup menimpa negara kita. Antara bulan Mei hingga bulan September, angin Monsun Barat Daya bertiup manakala angin Monsun Timur Laut pula bertiup dari bulan November hingga bulan Mac. Maka, negara kita menerima hujan sebanyak 2600mm sepanjang tahun.


Faktor yang Mempengaruhi Cuaca dan Iklim

Ciri iklim Khatulistiwa ialah

a. Suhu yang tinggi iaitu 27°C dan hampir sekata sepanjang tahun di mana perbezaannya cuma di antara 1°C hingga 2°C.
b. Angin bertiup dari Barat Daya dan Timur Laut.
c. Hujan sebanyak 2600mm setahun.

Mari kita teliti apakah faktor yang mempengaruhi cuaca ini.

Kedudukan
Malaysia terletak di antara garisan lintang 1°U hingga 7°U. Maka, ini menjadikan Malaysia beriklim Khatulistiwa iaitu panas dan lembap sepanjang tahun.

Peta di atas menunjukkan kedudukan negara di Garisan Lintang.

Angin dan Hujan
Angin yang bertiup sepanjang tahun menyebabkan taburan hujan yang berbeza di setiap kawasan. Rujuk peta di bawah untuk arah tiupan angin monsun dan taburan hujan di Malaysia.


Peta di sebelah menunjukkan arah tiupan angin monsun di Semenanjung Malaysia

Ketinggian dari Aras Laut
Suhu makin rendah di kawasan yang semakin tinggi disebabkan kurang haba pembalikan dari bumi.

Kepulauan
Kawasan yang terletak jauh dari laut mempunyai suhu yang lebih tinggi berbanding dengan kawasan daratan yang berhampiran laut. Pulau merupakan tanah daratan yang dikelilingi air, oleh itu suhu di pulau lebih rendah kerana suhu dipengaruhi oleh air di sekelilingnya.

Bencana Alam

Malaysia tidak terkecuali dalam isu bencana alam. Hujan, suhu dan angin sebenarnya boleh membawa bencana alam yang serius.

Banjir
Hujan lebat yang turun dalam jangkamasa yang panjang boleh mengakibatkan banjir apabila air sungai melimpahi tebing.

Berikut adalah video menunjukkan keadaan banjir di Kuala Lumpur yang berlaku tahun 2009.



Tiupan Angin Kencang
Tiupan angin kencang adalah salah satu bencana alam yang boleh menyebabkan kerosakan harta benda di Malaysia.

Hutan Hujan Tropika

Negara kita yang terletak berhampiran Garisan Lintang mempunyai hutan yang dipanggil Hutan Hujan Tropika. Hutan boleh dijumpai di kawasan bukit sehingga ke tepi pantai. Berikut adalah jenis-jenis hutan di negara kita.

Hutan Paya Air Tawar
Hutan ini boleh dijumpai di kawasan pedalaman dengan saliran yang kurang baik dan air bertakung di kawasan ini. Jenis-jenis pokok yang tumbuh di sini termasuklah mengkuang, nipah, gelam dan beberapa jenis palma. Hidupan liar yang biasanya hidup di kawasan hutan ini ialah ular, biawak dan buaya.


Hutan Paya Air Masin
Hutan ini tumbuh di kawasan tepi pantai yang terlindung atau muara sungai yang berlumpur dan dipengaruhi air pasang dan surut. Pokok di sini mempunyai akar yang unik yang dinamakan akar jangkang seperti pokok bakau. Pokok yang lain termasuklah gelam, ramin, nibong, nipah dan paku pakis. Burung bangau, kera, memerang, biawak dan ular pula tinggal di kawasan hutan ini.


Hutan Pantai
Ianya tumbuh di kawasan tepi pantai yang berpasir dan terdedah kepada tiupan angin yang kencang. Oleh itu, pokok di sini adalah jenis yang tahan tiupan angin dari laut termasuklah pokok ru, mengkuang laut dan pokok kelapa. Haiwan yang hidup di sini biasanya ular, burung dan monyet.


Hutan Gunung
Hutan ini terdapat di kawasan tanah tinggi melebihi 1000m dari paras laut. Tumbuhan di sini kebiasaanya lebih rendah atau terbantut dan tumbuh jarang-jarang antara satu sama lain. Pokok yang biasa dijumpai di sini ialah laurel, paku pakis dan periuk kera. Haiwan di sini mempunyai bulu yang panjang dan tebal termasuklah tupai gunung, siamang dan burung.

Faktor yang Mempengaruhi Pelbagai Jenis Tumbuhan Semula Jadi


Jenis tumbuh-tumbuhan semula jadi di negara kita dipengaruhi oleh iklim, bentuk muka bumi dan jenis tanih.

Iklim
Setiap kawasan mempunyai pancaran cahaya matahari, angin, suhu dan hujan yang berbeza. Dengan ini secara langsung mempengaruhi jenis tumbuh-tumbuhan yang hidup di sesuatu kawasan.

Bentuk Muka Bumi
Tumbuh-tumbuhan berbeza di setiap kawasan yang berbeza mengikut ciri-ciri kawasan seperti bentuk muka bumi. Di kawasan tanah tinggi yang bersuhu rendah, terdapat pelbagai tumbuhan seperti lumut dan paku pakis. Manakala di kawasan lereng gunung pula, terdapat pokok renek dan tumbuhan yang berdaun tirus. Tumbuhan di kawasan yang dipengaruhi air pasang surut pula mempunyai jenis pokok yang perlu menyesuaikan diri kepada keadaan sekeliling. Contohnya pokok bakau.

Saliran
Tumbuh-tumbuhan juga dipengaruhi oleh keadaan saliran di sesuatu kawasan. Tumbuhan yang terdapat di tanah pamah bersaliran baik tidak semesti boleh hidup di kawasan yang bertakung air. Kebiasaannya, pokok nipah dan mengkuang hidup di kawasan bersaliran kurang baik seperti di kawasan paya.


Tanah-Tanih
Tanah yang liat dan berpasir amat sesuai untuk pokok bakau dan pokok ru. Manakala tanah laterit untuk paku pakis. Cuba anda mengenali jenis-jenis tanah yang lain di kawasan hutan di Malaysia.

Kepentingan Tumbuh-tumbuhan Semula Jadi

Tumbuh-tumbuhan semula jadi mempunyai banyak kepentingan. Ayat flora bermaksud tumbuh-tumbuhan dan fauna pula bermaksud binatang.

Hutan hujan tropika negara Malaysia kaya dengan pelbagai flora dan fauna. Kepelbagaian ini menarik pelancong luar negara datang ke negara kita. Contohnya, bunga Rafflesia (bunga yang terbesar di dunia) telah menarik kunjungan pelancong ke Sabah dan Perak. Selain itu, flora dan fauna juga menjadi bahan penyelidikan oleh para pegawai penyelidik tempatan dan asing. Penyelidikan ini penting kerana ianya menjamin warisan kepada generasi masa depan.

Ada kawasan yang dipelihara dan dilindungi di Malaysia. Pokok di kawasan hutan ini pula tidak boleh ditebang. Kawasan ini dikenali sebagai Hutan Simpan.

Kepentingan Kawasan Semula Jadi

1. Tempat Perlindungan Hidupan Liar
Hutan menjadi tempat pembiakan dan tempat tinggal kepada pelbagai jenis haiwan. Makanan boleh diperolehi dengan banyaknya di kawasan hutan yang terlindung.

2. Sumber Perhutanan
Hutan di negara Malaysia mempunyai pelbagai pokok seperti damar, buluh dan rotan. Pokok-pokok besar pula menjadi sumber kayu untuk industri perabut dan pembuatan. Selain itu, hutan juga merupakan sumber perubatan dengan tumbuhan herba seperti asam jawa, kacip fatimah, tongkat ali dan banyak lagi.

3. Kawasan Tadahan
Hutan adalah penting untuk mengekalkan dan mengawal kadar aliran air hujan. Air yang melalui sungai akan dirawat untuk kegunaan harian kita.

4. Mencegah Hakisan
Tumbuh-tumbuhan yang hidup di kawasan cerun atau lereng bukit dapat mencegah hakisan tanah kerana akar tumbuh-tumbuhan akan mencengkam tanah. Oleh itu, tanah sukar dialirkan oleh air hujan.

5. Pembiakan Hidupan Laut
Tumbuh-tumbuhan yang hidup di kawasan paya bakau dapat mengelakkan hakisan di sepanjang paya bakau. Ianya dapat memecahkan ombak dan memperlahankan arus air laut. Kawasan ini juga menjadi tempat perlindungan dan pembiakan kepada haiwan seperti siput, lokan, udang galah dan pelbagai jenis ikan.